Monday, January 13, 2020

Menjadi Insan yang Matang

MATANG atau dalam bahasa inggeris mature mengandungi beberapa maksud yang berbeza bergantung kepada penggunaan kita dalam sesuatu ayat. Matang boleh merujuk kepada masaknya sesuatu, seperti buah. Dalam Kamus Dewan juga turut mendefinisikan matang sebagai kesempurnaan fikiran mungkin berdasarkan pengalaman, umur dan sebagainya. Kematangan juga boleh dilihat dari segi cara seseorang berfikir dan bertindak. Namun, bilakah seorang manusia mencapai tahap matang masing-masing? Sesuatu yang sukar untuk ditelah dan dijawab. Tindak balas kita terhadap sekeliling menunjukkan kematangan kita dalam daya fikir dan bertindak. Pernah sahaja saya berjumpa dengan anak muda yang lebih matang pembawakan dirinya berbanding usianya. Proses seseorang manusia untuk menjadi matang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengalaman dan perjalanan hidup, kebolehan hidup berdikari, rakan sebaya dan sebagainya.

Bersifat matang tidak bermakna kita harus bersikap serius sepanjang masa. Tetapi keberanian kita untuk menghadapi masalah dan cabaran, keberanian untuk memikul tanggungjawab, keberanian untuk terlebih dahulu merendahkan ego meminta maaf, kecerdikan dari segi tutur bicara (dari segi mengutarakan pendapat dan sebagainya) dan juga kesopanan dari segi adab dan moral, mampu menjadi cerminan bahawa diri kita adalah seorang yang matang akal dan budi.

Kematangan juga mampu membantu kita untuk berfikir dengan lebih tepat dan rasional kerana sedikit sebanyak, sifat kematangan yang ada pada diri kita akan membantu kita untuk mengawal emosi dengan lebih baik. 

Jadi, banyakkanlah bergaul, banyakkan mengembara, banyakkan membaca supaya dapat meraih pelbagai pengalaman dan membentuk diri kita supaya menjadi seorang dewasa yang bersifat matang. 


No comments:

Post a Comment

Cerewet Ke Aku??

Aku tak makan durian Sayur frozen yang 3 sekawan(jagung,lobak dan kacang peas) tu pun aku tak makan Aku tak makan budu walau aku orang Teren...