Tuesday, July 7, 2020

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck: Kisah Antara Dua Darjat

Kisah cinta antara dua darjat begitu sinonim dalam lingkungan masyarakat kita. Jika tidak, masakan wujud peribahasa, burung pipit sama enggang, mana boleh sama terbang. P Ramlee juga turut mengadaptasikan kisah antara dua darjat, yang dikatakan tidak mempunyai taraf sosial yang sepadan di dalam beberapa buah karya beliau. Antaranya ialah Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku. Latar belakang yang lebih kurang sama, iaitu perbezaan darjat antara si teruna dan si dara, menjadi penghalang besar dalam penyatuan cinta mereka. Pintar sekali P Ramlee menggarap cerita,menggambarkan realiti masyarakat dan kehidupan sosial mereka yang segelintirnya lebih memandang harta, pangkat, keturunan dan rupa. Karyanya begitu sopan dan kritis namum begitu tajam dalam menyampaikan kritik kepada masyarakat yang berkelas tinggi.

Namun, bukan kisah digarap seniman P Ramlee yang ingin saya kongsikan pada hari ini, sebaliknya saya tertarik dengan karya agung HAMKA (Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Abdullah), iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Ya, karya ini sudah lama, sekitar tahun 1938. Saya masih ingat saya menemui novel ini yang merupakan milik ibu saya di rumah pusaka arwah datuk. Kulitnya yang lusuh, helaian yang telah kekuningan, namun buah fikiran serta konteks tulisan masih utuh terlakar di dalamnya. Namun, ketika itu usia saya hanyalah muda remaja, yang masih lagi kurang mengerti akan karya-karya yang seharusnya kita hargai dan perhalusi dek kerana keindahan lenggok bahasa dan penceritaannya.

Kemudian, pada 2013, karya Hamka ini telah diadaptasi kepada sebuah filem. Aku pada ketika itu berusia 20 tahun, tertarik untuk menonton kerana ia adalah sebuah kisah cinta. Itu lah tanggapan aku pada ketika itu. Tanpa aku sangka, terdapat banyak mesej yang diselitkan oleh penulis dan juga sutradara. Maksudnya, bukan sekadar kisah cinta kosong semata-mata. Karya yang sarat dengan adat dan budaya, makna, semangat, serta nilai-nilai kekeluargaan. Karya yang mampu membuat pembaca dan penonton, tenggelam dalam emosi. Dalam satu masa, bibir tersungging mengukir senyum dan dalam masa yang lain, dada sesak menahan hiba, mata menakung si air mata.

Sedikit sinopsis pendek mengenai karya ini. Watak Zainuddin, digambarkan sebagai anak kampung dari Makasar, yang ingin mengembara ke tanah asal, Minangkabau, bagi menyambung kembali silaturrahim dan juga untuk belajar agama. Bapanya yang berasal dari tanah Minang telah bernikah dengan ibunya yang merupakan gadis Bugis dari Makasar. Penyatuan dua insan yang berbeza suku, menjadikan Zainudin tidak diterima sebagai orang Makasar, mahupun orang Mingkabau. Di Makasar dia dianggap orang Minangkabau lalu tidak diterima bergaul. Apabila dia sudah menjadi yatim piatu, dia berangkat pula ke tanah Minang. Di sana, dia dianggap pula sebagai orang Makasar dan juga tidak juga diterima oleh masyarakat setempat. Lebih menyedihkan, saat Zainudin baru tiba di rumah makciknya di Minang, bahasa tersirat makciknya telah menggambarkan keralatan untuk menerima Zainudin dirumahnya. Sedih bukan. Terbuang kerana adat. 

Dipendekkan cerita, saat berada di Minang, Zainudin telah bertemu dengan Hayati, seorang gadis yang digelar sebagai Bunga Batipuh, yang cantiknya tiada bandingan. Persahabatan antara mereka bermula yang akhirnya menerbitkan bibit-bibit cinta. Namun, kerana Zainudin dikatakan bukan orang tulen Minangkabau, tidak berharta, maka pinangannya ditolak. Sedihnya Zainudin sampai terlantar menderita sakit berbulan lamanya, sebelum bangkit berusaha perbaiki diri, menjadi orang ternama dan disegani. Ya, kita manusia biasa. Mudah tersungkur dan jatuh. Kagum dengan sifat Zainudin yang tidak membiarkan dirinya diselubungi kesedihan seumur hidup, sebaliknya berusaha memperbaiki taraf hidupnya yang akhirnya menjadikan dia sebagai orang yang terkenal.

Pertemuan kembali antara Zainudin dan Aziz-Hayati nyata memberikan sedikit kejutan kepada mereka berdua. Namun, lantaran kerana janji dan permintaan Hayati dahulu, Zainudin melayan mereka bagaikan saudara. Diringkaskan cerita, Aziz meninggal dunia dan meninggalkan Hayati kepada Zainudin. Zainudin yang merupakan seorang lelaki yang berpegang teguh dengan prinsip dan janji, memutuskan agar Hayati dihantar pulang ke Tanah Minang dengan menaiki kapal Van der Wijck, yang mana kapal tersebut karam dan Hayati meninggal akibat insiden tersebut.

Menarik dalam kisah ini adalah bagaimana pak Hamka menujukan kritikan kepada masyarakat yang mewujudkan dua darjat berdasarkan susur galur keturunan, pangkat dan juga harta benda. Watak Zainudin adalah contoh anak muda yang diilustrasikan sebagai mangsa kezaliman masyarakat hanya keran tidak berdarah tulen. Manakala Hayati adalah contoh mangsa yang lemah dalam sesebuah sistem masyarakat. Pak Hamka juga turut mengkritik sikap sombong orang muda yang terlalu ego dan rakus (contohnya Aziz). Karya ini juga turut memberi kritikan melalui watak Zainudin yang kalah dan sengsara dalam mempertahankan prinsip dan pegangan hidup.  Anak muda harus berani menongkah arus, berkerat rotan berpatah arang untuk mencorak masyarakat yang merdeka.

No comments:

Post a Comment

Cerewet Ke Aku??

Aku tak makan durian Sayur frozen yang 3 sekawan(jagung,lobak dan kacang peas) tu pun aku tak makan Aku tak makan budu walau aku orang Teren...